Friday, August 21, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak...

Setiap muslim dan muslimat yang benar-benar beriman kepada janji-janji Allah dan Rasulnya pasti bergembira menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada setiap tahun. Begitu juga dengan tahun ini di mana kita sekali lagi diberi kesempatan oleh Allah Subhanahua ta�ala menyambut dan meraikan ketibaan bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan pahala, dengan kegembiraan serta iman taqwa yang teguh. Hanya mereka yang lemah iman sahaja yang merasa cemas dan risau dengan kunjungan Ramadhan. Begitu juga dengan mereka yang tidak mengenali fadhilat atau keberkatannya. Tetapi bagi orang yang dapat memahami fadhilatnya akan menunggu dengan jiwa kesyukuran seperti yang dijelaskan oleh baginda Rasullullah S.A.W melalui hadisnya yang bererti "Sekiranya umatku mengetahui kemulian dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan kedatangan Ramadhan itu di sepanjang tahun".

Keistimewaan Ramadhan akan lebih ketara lagi jika ia dibandingkan dengan sebelas bulan yang lain. Walaupun semua bulan mempunyai kelebihan, namun kelebihan Ramadhan tetap tidak dapat ditandingi. Hal ini ditegaskan oleh nabi kita Muhammad S.A.W dengan sabdanya yang bererti "Bulan Ramadhan adalah penghulu kepada bulan-bulan yang lain".

Terdapat banyak hadis yang menerangkan keagungan Ramadhan Al-Mubarak, diantaranya sabda Rasullullah S.A.W, Ertinya "Apabila menjelang bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu neraka dan dibelenggu segala iblis dan syaitan".

Hadis di atas ini memberi pengertian bahawa bulan Ramadhan adalah bulan keemasan untuk umat Islam meningkatkan amal ibadah serta memantapkan iman dan membersihkan diri dari kerja-kerja maksiat yang didorong oleh hawa nafsu atau godaan syaitan. Di dalam bulan yang suci inilah sepatutnya mereka melakukan hisab atau muhasabah diri di atas kerja-kerja yang telah dilalui dan akan dihadapi samada yang bermanfaat atau sebaliknya.

Para ulama� menjelaskan, Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan sebaik-baik balasan kepada mereka yang berbuat amal soleh samada di awal, pertengahan ataupun di akhirnya. Sebaliknya mereka yang malas dan yang terus melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dan dosa, atau memandang bulan Ramadhan itu sama seperti bulan-bulan yang lain, bukan sahaja mereka tidak dapat pahala yang dijanjikan malahan akan menerima azab akibat dari kejahatan yang boleh menjatuhkan kesucian Ramadhan dan keluhuran akhlak umat Islam seluruhnya.

Ramadhan adalah semulia-mulia bulan, berbagai-bagai kejadian atau peristiwa berlaku di dalamnya, yang menjadikan tarafnya lebih agong dan lebih berkat, di antaranya :

Pertama, perintah Allah Subhanahua ta�ala ke atas kaum muslimin untuk mengerjakan puasa, firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183 yang bermaksud : "Wahai mereka yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti yang diwajibkan ke atas mereka yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan dengan berpuasa itu kamu akan terpelihara dan bertaqwa". Tidak syak lagi, perintah mengerjakan puasa yang menjadi rukun Islam ketiga dalam bulan yang mulia ini menjadikan ia lebih agong dari yang lain.

Kedua, mula turunnya kitab suci Al-Quran dari ayat pertama hingga kelima dari surah Al-¥Alak iaitu tanggal 17 haribulan. Firman Allah Subhanahua ta�ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud : "Didalam bulan Ramadhan ini diturunkan di dalamnya kitab Al-Quran yang menjadi hadiah kepada umat manusia dan membezakan antara yang hak dan bathil".

Ketiga, dalam bulan Ramadhan ini juga umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah atau zakat badan serta zakat harta benda ke atas mereka yang mencukupi syaratnya. Kefardhuan zakat fitrah di bulan Ramadhan ini menggambarkan betapa eratnya hubungan puasa dengan zakat. Kedua-duanya wajib dikerjakan dengan sempurna. Maka tidak sempurna agama seseorang itu jika hanya melakukan salah satu daripadanya. Hal ini dijelaskan oleh baginda Rasullullah S.A.W melalui hadisnya, yang bermaksud "Pahala puasa Ramadhan tergantung-gantung di antara langit dengan bumi, ia tidak terangkat ke langit kecuali dengan zakat fitrah".

Keempat, di sepanjang bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini, Allah Subhanahua ta�ala menghadiahkan kepada umat Islam satu malam yang pahala atau keberkatannya seribu bulan, yang dinamakan Lailatulqadar. Kerana itu, maka menjadi kewajipan ke atas setiap muslim dan muslimat berusaha untuk mendapatkan keagongannya. Iaitu memperbanyakkan zikrullah, bertakbir, bertahlil, berdoa dan lain-lain ibadah yang dituntut dalam Al-Quran dan sunah Rasul. Nabi Muhammad S.A.W menggalakkan umatnya beribadah pada malam tersebut dengan menghampirkan diri kepada Allah Subhanahua ta�ala melalui majlis Qiamullail, beristighfar dan bertadarrus Al-Quran di sepanjang malam pengampunan dosa ini. Janganlah ada orang Islam yang memandang kelebihan malam LailatulQadar sama seperti malam-malam yang lain.

Dipandang dari sudut mana sekalipun, ibadat puasa perlu dilakukan oleh manusia. Agama Islam yang , mengutamakan kesejahteraan umatnya dari segi rohani dan jasmani, tidak menyuruh mereka melakukan ibadat agong ini sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada mereka. Maka di antara sebab ibadah ini diwajibkan ialah : Pertama, meningkatkan taqwa dan iman manusia dengan melaksanakan suruhan Al-Khaliq secara ikhlas sebagai melahirkan kesyukuran terhadapnya ; Kedua, melahirkan sifat mulia dan jiwa murni dan bersimpati terhadap penderitaan yang dihadapi oleh fakir miskin dan yang menderita ; Ketiga, menguji kesabaran dalam menghadapi kelazatan makan dan minum, keinginan nafsu jantina atau godaan yang ditegah oleh syarak ; Keempat, melatih diri untuk terus berjihad bagi meninggikan syiar Islam disamping menjaga maruah dan keselamatan diri serta membersihkan jiwa dari sifat-sifat tamak, gelojoh dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Bagi memastikan perlaksanaan rukun Islam ketiga ini diterima Allah serta mendapat keredhaannya, ia hendaklah dilakukan mengikut syarat-syarat atau rukun dengan sempurna, berniat ikhlas, berdisplin dan tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan menghilangkan pahalanya. Ini disebabkan tujuan berpuasa bukanlah menahan diri dari makan dan minum sahaja tetapi menahan semua anggota dari melakukan kerja-kerja yang tidak berakhlak atau yang dilarang oleh agama.

Dalam hal ini kita harus gerun dengan hadis Rasullullah S.A.W yang bererti "Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa balasan dari puasa melainkan lapar dan dahaga".

Mengambil sempena keagongan Ramadhan, marilah kita meletakkan azam untuk menaikkan maruah dan sahsiah dengan menambah iman taqwa kepada Allah, sekurang-kurangnya dengan berpuasa pada siang hari dan bersalawat tarawih pada malam harinya. Orang yang menghormati tuntutan Ramadhan bererti memuliakan dirinya dan mencemari Ramadhan bererti ia menjatuhkan harga dirinya sendiri

No comments:

Post a Comment